Tuesday, January 28, 2014

Siakap sangkar terapung



MUSIM tengkujuh juga boleh mengurangkan pendaratan ikan memandangkan cuaca buruk itu mengancam keselamatan nelayan.

Pilihan yang ada ialah mengoptimumkan penggunaan sumber dari darat termasuk mengeluarkan lebih banyak ikan menerusi projek akuakultur.

Sebab itu kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mempunyai cita cita untuk menjadi usahawan akuakultur, kerana bidang tersebut berpotensi besar untuk dimajukan.

Malah menerusi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), sektor pertanian telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

NKEA Pertanian memberi fokus kepada subsektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar yang dapat membantu negara untuk turut sama menyertai pasaran global yang semakin berkembang.

Pada masa yang sama, tumpuan akan turut diberikan kepada subsektor strategik dalam usaha menjamin bekalan makanan negara dengan pengenalan 16 Projek Permulaan (EPP) termasuk akuakultur EPP 4 sebagai contoh akan menumpukan kepada Pembangunan Ternakan Dalam Sangkar Secara Bersepadu, sekali gus membuktikan usaha kerajaan memberi anjakan kepada industri akuakultur.

Inisiatif tersebut wajar disahut oleh pengusaha dan meneroka peluang menjadikan akuakultur sebagai penjana kewangan dan meningkatkan taraf hidup.

Seorang daripada usahawan tersebut ialah Raja Zainuddin Raja Omar, 58, yang bermula sebagai penternak ikan sangkar marin secara kecil-kecilan.
Berkat kegigihan dan modal sendiri yang digunakan pada awalnya, dia kini muncul sebagai seorang pengusaha ternakan ikan sangkar marin berjaya.

"Projek saya bermula pada 2002 dan saya seorang mengusahakannya, tetapi tidaklah terlalu besar."

"Pada 2005 apabila Jabatan Perikanan mula memperkenalkan projek ini kepada orang ramai dan baharu ada dua dan tiga orang menyertai projek ini,"€ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam sesi taklimat kepada peserta lawatan Kembara AgroChallenge ke Projek ternakan Ikan Sangkar Marin di Pekan,Pahang baru-baru ini.

Jelasnya, projek berkenaan dijalankan secara berkelompok pada 2005 yang mana semua pengusaha telah bergotong royong untuk menguruskan projek dengan mengeluarkan modal sendiri. - Maszureen Hadzman

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140127/ag_01/Siakap-sangkar-terapung#ixzz2rgJd6fgZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, January 15, 2014

Tumbuhan herba jadi tarikan

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar WAHIDIN SALIM

Hiasan tembikar yang diatur cantik.

TERASA damai sambil makan-makan di Kudap2 Cafe at Ampang Hilir yang terletak di hadapan Tasik Ampang Hilir, Ampang, Kuala Lumpur. Pemandangan indah KLCC dan bangunan di sekitarnya mungkin mampu melupakan seketika kepenatan dan keletihan minda.

Kudap2 Cafe milik Norazni Abdul Aziz yang dibuka sejak empat tahun ini mungkin tidak begitu diketahui oleh mereka yang tidak biasa dengan lokasi tersebut. Namun bagi yang telah biasa, sekali datang, pasti mereka akan berkunjung lagi.

Lokasi yang strategik di tengah-tengah bandar ini bukan sahaja dikunjungi oleh warga tempatan malah menjadi tempat kegemaran warga asing dan duta-duta negara luar yang tinggal berdekatan.

"Mereka sudah menjadi pelanggan tetap saya kerana mereka suka sangat makan ubi rebus cecah sambal ikan bilis dan keledek merah rebus yang menjadi hidangan tetap di sini," kata Norazni memulakan bicara dalam pertemuan yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Norazni, orang asing memang suka dengan makanan tempatan dan mereka boleh menikmatinya di kafe beliau. Antara makanan yang terdapat di sini ialah laksa, mi sup, mi kari dan banyak lagi.

Manakala makanan pencuci mulut ialah pisang Palembang, lempeng pisang, lempeng kelapa dan pisang sira. Bermula pada harga RM4 bagi satu hidangan, pelanggan boleh makan sambil menikmati pemandangan yang menarik.

Hidangan ubi cencuan yang diberi rasa kepada penulis memang enak. 

Walaupun pertama kali menikmatinya namun ubi cencuan, iaitu ubi rebus yang dimakan bersama tumis bawang besar, cili api dan ikan bilis resipi nenek Norazni ini sedap dan menepati selera.

Norazni berkata, kafe yang dibuka pada setiap hari daripada pukul 7.30 pagi hingga 7.30 malam ini turut menyediakan makan tengah hari. Hidangan istimewanya ialah nasi putih yang dimakan bersama pais ikan atau udang bersama ulam-ulam yang dipetik di sekitaran kafe tersebut.

Ibu bapa yang membawa anak-anak boleh menikmati makanan mereka dengan tenang kerana dapat memperhatikan anak-anak yang bermain di taman permainan yang berdekatan dengan kafe.

"Saya memang suka menanam pelbagai jenis tumbuhan herba dan ulam-ulaman. Jika hendak makan, petik sahaja. Segar dan tidak ada bahan kimia. Malah saya turut menghidangkan pelanggan dengan teh daun belalai gajah atau teh pudina segar yang saya petik terus daripada pokoknya jika pelanggan ingin merasa.

"Terdapat juga pelanggan yang sebelum memesan makanan akan melihat-lihat dahulu pokok-pokok yang saya tanam di keliling kafe ini. Apabila selesai barulah mereka duduk dan memesan makanan yang dikehendaki," ujar Norazni yang turut menjual anak benih tumbuhan herba seperti sabung nyawa, belalai gajah, ginseng, cekur, halia, setawar, halia bara dan banyak lagi.

Selain makanan yang dihidangkan dan tumbuh-tumbuhan herba yang ditanam, satu lagi daya penarik kepada Kudap2 Cafe ialah perhiasan dalaman di mana pelanggan tidak akan bosan melihat koleksi pinggan mangkuk, kole ayan dan balang-balang kecil yang disusun di dalam almari antik.

Norazni yang amat berminat dengan tanaman herba turut menjual anak-anak benih pokok-pokok yang sukar ditemui seperti cucur atap dan gaharu.

Beliau juga sanggup meluangkan masa memberi penerangan kepada pelanggan mengenai pokok yang dijual dan cara menanam serta penjagaan.
Norazni turut mempelawa sesiapa yang hendak mengadakan majlis di kafenya supaya menghubunginya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140109/ag_01/Tumbuhan-herba-jadi-tarikan#ixzz2qRGizYKq 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, January 05, 2014

Pembuat roti diperlukan!

                                                                                                       Saya sedang mencari pembuat roti di seluruh Besut, di bandar ataupun di kampung, semua saya mahu. Permintaan sangat menggalakkan.

Jangan risau ke mana hendak dipasarkan, kami hanya perlu tahu berapa ratus pengeluaran tuan boleh hasilkan!

"Mohon PM saya segera atau sms ke 019-7589774 (Nizam)!!"